Pernah suatu ketika dahulu, aku benar-benar tidak mengerti apakah sebenarnya erti kehidupan buat diriku. Aku tahu siapa yang telah melahirkanku dan siapa pula yang menciptakanku, tetapi aku benar-benar terasa seperti kehidupan yang aku lalui buat masa itu adalah seperti kehidupan yang tidak membawa sebarang makna bukan sahaja kepada diriku malahan kepada insan lain. Aku terasa seperti kehidupanku didunia ini hanya menghidangkan seribu satu kepayahan buat manusia-manusia lain. Aku tidak pernah berjaya dalam setiap peperiksaan yang aku lalui, UPSR, PMR mahupun SPM. Aku hanyalah menghidangkan kegagalan buat keluargaku. Ibu, apabila terlihat keputusanku, pastinya maki dan caci menjadi hadiah buatku. Ayah, apabila terpandang keputusanku, pastinya penampar serta penyepak menjadi ‘penghargaan’ kepadaku. Kerana apa? kerana aku telah ‘berjaya’ menjatuhkan maruah keluargaku. Abangku adalah seorang ahli perniagaan terkenal yang mendapat pendidikan daripada University of California suatu ketika dahulu hasil daripada kecemerlangan yang diperolehinya sewaktu mengambil peperiksaan SPM. Kakakkku pula adalah seorang bakal doktor yang kini sedang menuntut di salah sebuah institusi pengajian terkemuka di Ireland. Aku? Aku kini adalah ibarat insan terbuang selepas ibu dan ayahku menghalau aku keluar daripada rumah akibat keputusan SPMku yang cukup untuk menjatuhkan maruah ayah serta ibuku yang kedua-duanya bergelar peguam yang cukup terkenal. Hati anak mana yang tidak hancur apabila dihalau oleh ibu sendiri. Ibu yang dahulu pernah bertarung dengan nyawa untuk menghidupkanku kini menghalau aku keluar dari rumah, tidak mengaku diriku sebagai anak. Aku tidak pernah menyalahkan ibu serta ayahku andaikata mereka membenciku kerana ini semua adalah kesalahanku. Kesalahanku kerana tidak pernah berjaya mencipta kejayaan, bukan kerana aku tidak mencuba tetapi aku masih belum berjaya dalam setiap percubaan itu. Setelah dihalau oleh insan yang telah melahirkan dan membesarkanku dari rumah, aku melayangkan kakiku di jalan-jalan kota yang masih sibuk walaupun jam telah menunjukkan angka dua belas tengah malam. Sepi tanpa teman, tanpa keluarga, tanpa saudara, aku kini ibarat hidup sebatang kara di tengah-tengah kemelut dunia metropolitan walaupun ibu yang melahirkanku ada di sini. Teman yang suatu hari dahulu pernah berjanji akan membantuku andai aku ditimpa masalah kini semua melarikan diri kerana aku sudah tidak punya apa-apa. Kini baruku sedari bahawa tali persahabatan yang tercipta antara aku dan teman-temanku, semuanya adalah tali yang berpaksikan harta semata-mata. Aku berjalan dan terus berjalan sehingga kakiku terhenti di rumah Allah, terlintas di hatiku ‘ ya allah, sudah terlampau lama aku meninggalkanmu ya allah’. Aku lantas menghayunkan kakiku ke perkarangan masjid Al-Raudah Izzati. Aku mengambil wudu’ lantas menunaikan solat fardu isya’ diikuti dengan solat sunat hajat dan taubat. Dalam setiap sujudku aku berdoa ‘ ya, allah andaikata ibu bapaku telah menyingkirkan diriku dari hidup mereka, janganlah pula engkau menyingkirkan aku dari pintu syurgamu, andaikata ibu bapaku telah membenci diriku janganlah pula engkau membenci diriku, aku ini hanyalah insanmu yang lemah maka engkau kuatkan serta tabahkanlah hatiku ya allah, engkau ampunilah setiap dosa yang telah aku, ibuku serta ayahku lakukan dan engkau berikanlah kami hidayah’. Malam itu aku habiskan setiap detik waktu dengan bersujud kepada illahi, aku menangis dengan sepuas-puasnya terkenang dosa-dosa lampauku. Keesokan harinya setelah selesai menunaikan solat fardu subuh, lantas aku memulakan langkah baruku sebagai insan yang kini hidup sebatang kara. Aku berjalan untuk mencari pekerjaan yang tidak memerlukan kelayakan. Dengan izin yang maha esa aku memperolehi pekerjaan di sebuah restoran melayu sebagai seorang pelayan. Majikanku lantas bertanya samada aku mempunyai tempat penginapan atau tidak, jawapan apa lagi yang harus aku kemukakan melainkan tidak. Ternyata allah ,masih lagi menyayangi diriku kerana aku bukan sahaja mendapat pekerjaan malahan tempat penginapan yang terletak di bahagian atas restoran itu. Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan,aku meniti norma-norma kehidupan dunia ini dengan bergelar seorang pelayan. Aku lantas bertekad untuk memulakan sebuah kehidupan baru dengan duit yang aku kumpul selama ini. Aku ingin menjadi ahli perniagaan seperti majikanku supaya dapat aku buktikan pada orang tuaku, sekurang-kurangnya aku masih boleh berjaya. Duit simpananku kini berjumlah RM12,000 hasil dari kumpulan gaji bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran selama hampir setahun setengah. Aku terus bercadang untuk membuka sebuah warung di bahagian lot yang telah disediakan oleh DBKL. Tanpa disangka-sangka perniagaan yang hanya dimulakan dengan sebuah warung yang berorientasikan masakan melayu kini telah membina sebuah empayar di dalam bidang pemakanan. Bukan sahaja restoran malahan aku kini mempunyai kilangku sendiri untuk membuat makanan segera. Jenamaku kini bukan saja dipasarkan di dalam negara malahan di luar negara seperti Singapura, Hong Kong dan tidak lama lagi Amerika Syarikat. Kini aku telah membuktikan kepada orang tuaku bahawa aku telah berjaya menempa nama dipersada anatarabangsa. ‘Hei Azri’ aku tersedar daripada lamunanku apabila disapa oleh rakan perniagaanku serta teman baikku yang bernama Zainuddin. “Apa yang engkau menungkan tu? Nampak jauh benar mengelamun.”ucap rakanku. “teringat kisah-kisah lama, din” aku membalas. Zainuddin adalah teman perniagaanku yang sememangnya banyak membantu aku dan dialah yang mengeluarkan modal yang amat besar untuk memperluas perniagaanku, sementara aku hanya menyumbangkan sedikit modal dan tenaga untuk itu, jika tanpa kehadiran Zainuddin, sudah tentu aku hanya bakal bergelar pemilik warung dan bukannya pemilik sebuah syarikat pemakanan yang ternama. Aku pun hairan, bagaimana orang seperti Zainuddin yang pada asalnya tidak mengenali diriku berani untuk melaburkan modal yang begitu besar dalam perniagaanku. Namun aku biarkan soalan itu tanpa jawapan kerana aku menganggap Zainuddin hanya ingin membantu diriku. Sewaktu aku menerima huluran bantuan yang diberi oleh Zainuddin, aku bertemu dengan erti sebuah kehidupan yang sebenar yang dinamakan sebagai pertolongan. Namun erti kehidupan yang dipertontonkan oleh Zainuddin itu hanyalah membawa erti yang sedikit dalam kehidupanku, aku kini masih setia mencari-cari apakah erti sebuah kehidupan yang sebenar. Hari berganti hari, bulan bertukar bulan, tahun meniti tahun, aku masih belum bertemu dengan kedua-dua orang tuaku dan tetap mencari erti kehidupan yang sebenar. Di saat manusia lain pulang ke kampung apabila tiba musim perayaan, aku? Aku hanya merayakan aidilfitri mahupun aidiladha seorang diri tanpa keluarga disisi. Pada suatu hari, sewaktu aku sedang melayangkan fikiran jauh ke zaman silamku yang penuh dengan titik hitam kehidupan sambil duduk di atas bangku di luar rumahku, satu tragedi yang hampir meragut nyawaku telah terjadi ke atas diriku. Tragedi itu bukan sahaja menjadi satu tragedi hitam dalam hidupku tetapi tragedi itulah yang telah merungkai persoalan yang sekian lama aku mencari jawapannya dalam hidupku. Tragedi kemalangan kereta yang telah menyebabkan aku kudung kedua-dua belah kaki dan yang paling teruk adalah mataku cacat sebelah. “aduh!” aku menjerit kesakitan sewaktu ingin membuka mataku kali pertama selepas berlakunya tragedi itu, aku lihat disampingku teman baikku Zainuddin dan beberapa temanku yang lain dan yang paling tidak ku sangka orang yang menghalauku dari rumah juga turut hadir disampingku ‘ayah’. Tetapi di mana ibu? Adakah ibu yang sering mencaci makiku terus sahaja membenci dan tidak mahu berjumpa denganku? Adakah diriku ini menambah malunya apabila menjadi anak peguam yang tidak berkaki dan cacat penglihatan? Persoalan itulah yang bermain di benak fikiranku apabila tidak langsung melihat kelibat ibuku, namun ku biar persoalan itu terus bermain di benakku tanpa aku luahkan kepada ayahku. Namun hatiku tidak dapat menahan lama daripada terus memendam persoalan itu, setelah semua temanku beredar, aku lantas meluahkan persoalan itu kepada ayahku. Ayahku lantas tersenyum tanpa menjawab satu pun daripada persoalanku hinggalah aku terlena disampingnya. Apabila ku buka sebelah mataku untuk melihat warna-warni dunia keesokan paginya, ayahku telahpun menyediakan sarapan buatku. Setelah puas mengisi perut dengan hidangan mee rebus kesukaanku, aku lantas mengutarakan kembali persoalanku yang belum lagi menemui jawapan dari ayahku, aku kemudian disuruh ayah untuk duduk di atas kerusi roda dengan dibantu olehnya. Ayah kemudian menolak kerusi rodaku tanpa aku tahu kemanakah destinasi yang ingin dituju oleh ayah, lalu ayah berhenti di tingkap kaca sebuah bilik yang tidak dapat aku pastikan bilik apakah itu, namun yang dapat aku pastikan adalah yang terbaring di situ adalah seorang wanita yang mempunyai susuk tubuh yang hampir sama dengan ibuku. Setelah mendapat kebenaran oleh doktor bertugas, aku dan ayah dibenarkan untuk masuk ke bilik itu dengan ditemani oleh seorang jururawat. Sewaktu menuju masuk ke dalam bilik itu, sempat aku menjeling kearah pintu bilik itu yang tertera tulisan ICU. Hatiku lantas berdetap dengan kencang, apabila terfikir wanita yang ku lihat di sebalik cermin bilik itu, ternyata wanita yang terlantar didalam bilik itu adalah ibuku. Aku langsung diberitahu oleh ayah bahawa ibuku sudah tidak sedarkan diri sejak dia mendermakan darah kepadaku, menurut ayahku keadaan ibu yang baru sahaja menjalani pembedahan beberapa minggu lalu tidak melayakkan dirinya untuk menderma darah namun disebabkan kedegilannya yang mahu membunuh diri jika tidak dapat mendermakan darah terhadap anaknya ini telah menyebabkan kondisinya menjadi teruk seperti ini. Menurut doktor di hospital itu, jantung ibu tidak dapat berfungsi dengan baik kerana kehilangan terlampau banyak darah dan keadaan luka pembedahannya yang bernanah kembali. Hati anak mana yang tidak pilu melihat keadaan ibu yang pernah bertarung nyawa untuk melahirkannya kini terpaksa bertarung nyawa buat kali keduanya untuk memberi kehidupan semula kepada anaknya. Tidak ku sangka ibu yang pernah mencaci makiku, menghinaku dan yang paling terkesan dihatiku adalah menghalauku dari rumah satu ketika dahulu kini bertarung dengan nyawa untuk memberikanku kesempatan untuk terus melihat dunia walaupun dengan hanya sebelah mata. Air mata yang mengalir dipipiku tidak dapat disekang lagi, air mata ini seolah-olah menzahirkan apa yang dirasakan oleh hatiku buat yang kesekalian kalinya. Menurut ayahku lagi, tiada darah yang sepadan dengan darahku kecuali darah ibuku. Menurut ayah lagi, teman baikku yang telah menghulurkan modal yang sebegitu besar untuk perniagaanku adalah anak buah ibuku yang tidak pernah aku kenali dan duit yang dihulurkan itu adalah duit milik kedua-dua orang tuaku. Begitu juga dengan pemilik restoran yang memberikanku kerja sebagai pelayan dan memberi tempat penginapan buatku adalah teman ayahku yang diminta oleh ayah untuk berbuat sebegitu. Hatiku benar-benar luluh pada saat itu. Hatiku ibarat hancur apabila aku mengetahui bahawa sebenarnya selama ini ibu dan ayah sentiasa berada disampingku setiap masa. Pada hari itu aku temui jawapan buat persoalan yang selama ini aku cari dalam setiap detik hidupku, persoalan tentang erti sebuah kehidupan. Jawapan bagi persoalan itu adalah cinta dan kasih sayang yang telah dijawab oleh kedua-dua ibu bapaku yang suatu hari dulu pernah ku anggap sebagai penghina dan pencaci diriku. Kini walaupun aku cacat penglihatan dan kaki, namun aku tetap berjalan di muka bumi allah ini dengan gembira kerana aku tahu, ibu dan ayahku akan sentiasa di sampingku. Pernah satu hari selepas ibu keluar dari wad ICU, ibuku berpesan kepadaku “Ri, andainya engkau menyayangi ibu, ketahuilah bahawa ibu lebih menyayangimu dan andaikata ibu pergi meninggalkanmu, janganlah engkau menganggap ibu telah pergi sepenuhnya kerana ibu akan sentiasa berada dihatimu” tambahnya lagi “orang yang kita sayangi tidak akan pernah pergi dalam kehidupan kita kerana mereka sentiasa berada di hati kita”, dan itulah pesanan terakhir oleh ibuku yang menyebabkanku tidak pernah lagi berasa keseorangan dalam hidupku walaupun kini ibu telah pergi menghadap illahi.
