Announcement:

Bagaimana puasa anda hari ini?

Sunday, 27 December 2009

warkah terakhir dari ADEK

Hari itu, rumahku dipenuhi dengan suara tangisan. Dari segenap penjuru rumah kayu milik kedua-dua orang tuaku kedengaran suara tangisan pilu yang menzahirkan kesyahduan serta kepiluan hati kecil seorang makhluk yang maha pencipta yang bergelar ‘manusia’. Hari itu telah mengubah segala-galanya, hari itu telah mengubah kesuluruhan hidupku.

Teringat aku sewaktu adik dilahirkan, ketika itu aku baru meniti usia remaja sekitar belasan tahun. Kehadiran seorang insan bertubuh kecil yang cukup comel ini telah mendatangkan sinar dalam hidupku. Aku lantas menjaganya dengan belaian kasih sayang seorang abang kepada adik. Namun, allah lebih berhak atas segala-galanya, belum sempat aku puas menjaga adikku yang comel ini aku telah dihantar melanjutkan pelajaran nun jauh di selatan Malaysia, MRSM Pontian yang letaknya di penghujung benua asia. Kampungku juga tempat lahir serta tempat aku dibesarkan adalah di bahagian utara Malaysia. Dari utara ke selatan, satu perjalanan yang mengambil masa yang agak lama dan memerlukan belanja yang agak besar juga. Disebabkan oleh kondisi keluargaku yang bukanlah ‘orang senang’, aku jarang sekali pulang ke kampung. Jangankan cuti 3,4 hari. Cuti seminggu dua pun belum tentu aku dapat pulang ke kampung halamanku. Namun setiap kali aku pulang, aku dapat melihat pembesaran adik-adikku yang mendadak. Setelah aku habis mengambil peperiksaan SPM, aku terus pulang ke kampung untuk melihat keadaan keluargaku, ibu, ayah, alang, acik dan yang paling aku tunggu-tunggu adalah adik kecilku yang bernama Ahmad Amir Khairi. Tidakku sangka-sangka adik-adikku kini semua sudah besar-besar belaka, setelah hampir 6 bulan tidak pulang mengunjungi kampung, aku dapat melihat gelagat adik bongsuku yang kini sudah meniti usia 2 tahun. 3 bulan berlalu, aku habiskan sisa-sisa cuti SPMku di rumah dengan membantu ibu dan ayah menjaga adik-adikku yang kesemuanya lelaki. Kini tibalah masa yang amat aku debarkan iaitu hari pengumuman keputusan SPM. Aku bertolak dari negeri Indera Kayangan ini sehari sebelum tarikh pengumuman keputusan SPMku. Menaiki bas yang memakan masa hampir 12 belas jam ini sungguh meletihkan, namun bak kata pepatah alah bisa tegal biasa, setelah dua tahun menjalani kehidupan seperti ini, aku tidak lagi merasa letih. Apabila keputusan diumumkan, aku ternyata berjaya mencapai prestasi yang membanggakan, keputusan straight a’s one dalam spmku, keputusan yang sememangnya aku idam-idamkan dari dulu. Setelah berjaya dalam SPMku aku lantas melanjutkan pelajaranku dalam bidang psycho engineering yang sememangnya menjadi idamanku buat sekian lamanya, berat hatiku ingin meninggalkan keluargaku namun berat lagi hatiku untuk melepaskan peluang keemasan ini. Setelah mendapat restu dari ibu aku lantas melanjutkan pelajaranku selama 3 tahun di Malaysia dan 3 tahun lagi di Hampshire U.S.A. selesai aku menuntut di University of Hampshire U.S.A, aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di University of California selama 7 tahun. Setelah mendapat persetujuan dari ibu aku lantas menerima tawaran keemasan itu. Sekembalinya aku ke tanah air setelah 10 tahun bermastautin di negara atas angin, sudah terlampau banyak kemajuan yang aku lihat di Malaysia. Setibanya aku di KLIA, aku mengambil keputusan untuk pulang terus ke kampungku. Hati mana yang tidak gembira melihat adik-adikku telah membesar dengan begitu berjaya kecuali adikku yang bongsu. Menurut ibuku, adikku ini tidak pernah mendapat keputusan yang cemerlang dalam apa jua peperiksaan yang dihadapi. Adikku ini juga mengalami masalah kesihatan yang belum diketahui apakah penyakitnya. Petang itu aku melihat adik bermain bersama teman-temannya, tiba-tiba adik rebah dan jatuh ke bumi. Aku lantas turun untuk mendapatkan adik yang pengsan dan lantas menelefon ambulans untuk tindakan selanjutnya oleh paramedik. Tiba di hospital besar Kangar, adikku terus mendapat rawatan kecemasan. Menurut doktor, adikku ini tidak menghidapi penyakit yang serius dan hanya memerlukan rehat yang secukupnya. Lega hatiku mendengar analisa keputusan doktor. Selesai dirawat, aku terus membawa adikku pulang ke rumah. 2 tahun berlalu, kini adik telah mengambil peperiksaan SPM dan mendapat keputusan yang tidak langsung memuaskan. Adik kemudiaannya membuat keputusan untuk bekerja di kota Kuala Lumpur sebagai seorang mekanik. Adik hanya menjengah ke kampung sebulan sekali, kadangkala menjangkau tiga bulan sekali. Aku memahami adik tentu sibuk di sana berbanding aku yang sekadar bekerja di Kangar supaya mudah untuk menjaga kedua-dua orang tuaku. Aku bukan sahaja membantu ibu dan ayah tetapi kesemua adik-adikku termasuklah adik bongsuku meskipun dia kini telah berkarier, aku tetap menghulurkan RM200 kepada setiap dari mereka. Jumlah itu tidak seberapa berbanding pendapatanku sebulan yang menjangkau lima angka.

Kini tibalah waktunya untuk aku bergelar sebagai raja sehari, ku lihat adik, alang dan acik sibuk mengemas rumah, mengecat dan sebagainya untuk menerima tamu baru dalam rumah itu, sementara ibu dan ayah sibuk melakukan persiapan terbaik buatku. Aku berasa amat gembira dan bahagia sekali pada masa itu. Tibalah masanya untuk majlis persandingan aku dan isteri tercinta, namun majlis persandingan yang sepatutnya disambut dengan penuh keceriaan kini bertukar menjadi sepi dan suram. Adikku jatuh sewaktu melakukan tepung tawar kepadaku dan dia segera dimasukkan ke hospital dan doktor mengesahkannya menghidapi barah otak di tahap yang paling serius. Adikku kini tidak punya harapan lagi untuk terus hidup di dunia. Doktor meminta supaya keluargaku membawa adik pulang ke rumah kerana adik hanya dapat hidup dalam beberapa jam saja lagi. Saat itu majlis perkahwinan bertukar menjadi majlis tahlil arwah. Sebelum adikku menghembuskan nafas terakhirnya dia sempat meminta aku untuk mebuka almarinya dan mengambil sepucuk surat dari situ. Aku mengiyakan kemahuannya namun tidak terus pergi mengambilnya. Adik mengahadap yang esa dalam keadaan bibirnya menggarit senyuman yang ku kira terakhir buatku dan adik pergi dengan wajah yang cukup tenang. Setelah jenazah adik dikebumikan, aku teringat akan pesanan adik yang meminta aku untuk membacakan surat yang telah diletakkannya didalam almari. Ku buka almarinya dan ku terlihat satu sampul surat berwarna merah hati yang tertera di atasnya ‘WARKAH TERAKHIR DARI ADIK’ terpandang surat itu mataku sudah mula ingin mengalirkan air jernih di pipiku. Lantas ku buka dengan penuh cermat surat itu di hadapan adik-adikku serta orang tuaku.
Suratnya tertulis,
Buat abang-abangku serta ibu dan ayah yang terbaik di dunia,
Assalamualaikum serta salam kebahagiaan ku utarakan buat insan yang paling ku cinta ibu, ayah, along, acik dan alang. Andai engkau membuka warkah ini, aku mungkin sedang diseksa dalam kubur yang sempit, sedang disoal oleh munkar dan nankir. Aku tak berteman disini dan aku juga takut untuk mengahadapi saat ini. Namun inilah ketentuan illahi yang sungguh bijak merencana kehidupan manusia. Sebenarnya diri ini terlebih dahulu ingin meminta ampun dan maaf kepada semua andai diriku pernah mencarit luka-luka dihatimu serta mencipta parutan di hati sucimu. Percayalah aku tidak pernah berniat untuk menyakiti hatimu dan tidak pernah pula terlintas di hatiku untuk menyusahkan diri kalian. Adik tahu, kehadiran adik dalam keluarga ini telah membawa terlampau banyak kesusahan buat semua. Adik telah memalukan ibu dan ayah dengan tidak pernah mencipta kejayaan dalam setiap peperiksaan yang adik lalui. Maafkan adik ibu, ayah. Adik bukan tidak mencuba namun masalah kesihatan adik ini telah menganggu sedikit sebanyak perencanaan adik terhadap persiapan peperiksaan adik. Adik juga telah menyusahkan along, alang dan acik kerana terpaksa menghantar adik ke hospital setiap kali adik pengsan. Maafkan adik ya, along, acik dan alang. Adik sebenarnya tidak suka untuk menyusahkan abang-abang adik ini, namun apakan daya allah suka untuk menguji kalian. Sebenarnya telah lama adik mengetahui tentang penyakit yang adik alami ini sejak ia masih di peringkat permulaan lagi. Seingat adik, adik mula mengetahui bahawa adik menghidapi penyakit ini adalah ketika adik berusia 17 tahun, adik telah pergi ke hospital untuk membuat rawatan dan doktor menasihatkan adik untuk pergi ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Adik minta maaf ya, hasrat utama adik pergi ke Kuala Lumpur sebenarnya bukanlah untuk bekerjaya namun hasrat adik yang lebih utama adalah supaya dapat merawat penyakit adik ini. Namun, inilah mungkin harga untuk membayar segala kesengsaraan yang telah diberi oleh adik kepada kalian. Hari berganti hari, bulan meniti bulan, tahun bertukar tahun, penyakit adik ini masih tidak menemui jalan untuk sembuh sehinggalah penantian adik selama ini terhenti apabila doktor memberitahu adik bahawa penyakit adik sudah mencapai tahap kririkal dan perlu mendapatkan rawatan pakar yang menelan belanja puluhan ribu ringgit. Adik akur dan sampailah satu ketika adik bertemu dengan doktor dan doktor memberitahu adik bahawa adik tidak lagi punya harapan untuk sembuh dan diberi tempoh jangkaan hanya 3 minggu untuk hidup. Setelah adik kira-kira, adik tahu bahawa adik berkemungkinan besar bakal meniti hari penuh debaran ini sewaktu along sedang meniti saaat bahagia, maafkan adik ya long, jika adik mati sewaktu majlis along berlangsung. Pernah satu masa dulu, disaat penyakit adik masih boleh dirawat menggunakan khidmat pakar, adik ingin sekali memberitahu penyakit yang dihidapi oleh adik ini kepada kalian namun adik simpan hajat itu kerana adik tahu, abang-abang adik ini adalah abang-abang yang terbaik di dunia yang akan mengumpulkan duit setiap dari mereka untuk merawat penyakit adik ini. Andaikata along menyumbangkan duit yang banyak dalam rawatan adik, apa yang akan terjadi pada majlis along. Adik tidak mahu lagi menyusahkan diri abang-abang adik ini setelah abang-abang semua menghadapi terlampau banyak kesengsaraan dalam hidup disebabkan adik. Acik, acik ingat tak pernah satu ketika acik cakap yang adik ni hidup tahunya menyusahkan orang saja sewaktu acik menghantar adik ke hospital, gara-gara adik acik tidak dapat menghadiri kelas eksperimen pada hari itu, maafkan adik ya acik. Adik tahu adik banyak melakukan salah dan silap kepada ibu, ayah serta semua abang-abang adik ni. Tetapi adik pohon dan pinta kepada semua agar memaafkan kesalahan adik ini kerana adik tidak akan tenteram hidup di sini seandainya kalian tidak memaafkan diri adik. Namun, andaikata permohonan kemaafan yang adik pinta dan pohon ini memberi kesengsaraan kepada semua, adik pinta supaya janganlah kalian maafkan adik kerana adik tidak mahu lagi memberi kesengsaraan dalam hidup kalian. Adik kira sudah cukup banyak kesengsaraan yang adik bawa dalam hidup kalian sewaktu adik masih hidup dan adik tidak mahu menambah koleksi kesengsaraan yang adik beri pada kalian sewaktu adik telah pergi selamanya dari dunia yang fana’ ini. Janganlah kalian bersedih atas pemergian adik ini kerana inilah fitrah kehidupan, yang hidup pastinya akan kembali kepadanya, dan janganlah pula kalian menangisi pemergian adik kerana adik bukanlah seorang yang layak menerima tangisan syahdu dari kalian semua kerana adik telah terlampau banyak melakukan kesalahan pada kalian…

Salam sayang dari adik yang telah memberi sengsara,


Itulah luahan hati adik yang terakhir. Adik yang lahir ketika aku meniti usia remaja, adik yang dahulunya aku tatang penuh manja kini pergi lebih awal dariku. Tidakku sangka adik akan pergi meninggalkan aku buat selamanya disaat aku sedang meniti hari penuh bahagia. Andai aku dapat menganugerahkan nyawaku kepada adik, sudah tentu akanku korbankan nyawaku buat adik. Tidakku duga bahawa adik menganggap kehadirannya di dunia ini membawa kesengsaraan kepada aku kerana ku kira kehadiran adik didunia ini hanya membawa erti kasih, cinta dan membawa seribu satu kebahagiaan dalam hidupku yang darinya dapat aku ciptakan satu memori yang bakal menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Aku tidak pernah menganggap adik sebagai pencetus serta pencipta parut-parut di hatiku kerana bagiku adik adalah pengubat setiap dari parut itu dan adik bukanlah pencipta parut dihatiku. Namun kebahagiaan yang aku tempuhi bersama adik jelas tidak dapat kekal buat selamanya kerana inilah lumrah kemanusiaan. Aku tetap bersyukur ke hadrat yang maha esa kerana telah menganugerahkan seorang adik yang telah memberitahuku erti kemaafan dan kebahagiaan dalam hidupku. Dalam setiap doaku, aku sentiasa memohon kepada ya Rahim supaya menempatkan adik bersama orang-orang yang beriman….amiin

Share it Please

Unknown

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation.

Copyright @ 2013 Tak Serius!. Designed by Templateism | Love for The Globe Press